Welcome to My Website

Semua tulisan di dalam weblog yang diambil untuk paparan di mana-mana medium sama bercetak atau secara maya, hendaklah disertakan sekali pautan kepada weblog ini.

Serabut

Ditulis oleh kawakib_duriyah Jumaat, Jun 22, 2007 0 ulasan


Semua orang tahu apa itu serabut? Semua manusia mengalaminya. Serabut adalah satu keadaan kita tidak tahu yang mana satu biru dan ungu. Keadaan yang tidak keruan. Keadaan yang menyebabkan kita tidak tahu apa yang harus kita lakukan. Walau pun banyak kerja yang mesti dilakukan, tetapi kita dalam keadaan serabut. Apa yang harus kita buat.

Maha Kuasa Allah Ta'ala menciptakan keadaan serabut ini. Saya tidak pasti adakah makhluk lain mengalaminya. Sehari dua ini serabut melanda diri yang masih terkontang-kanting mengawal nafsi. Hanya pada Allah kita mengharap, hanya pada Dia kita meminta tolong.

Aku mahu terbang kepada Allah dengan sayap keampunan, kerana aku selalu lari dari-Nya kerana takut dari cemeti murka-Nya.

Tolong Tuhan, aku cuma mahu terbang ke sana.

Jika anda tidak bersetuju...

Ditulis oleh kawakib_duriyah Khamis, Jun 21, 2007 0 ulasan


Mengapa harus ditentang kerja-kerja Islam yang dibawa oleh ramai individu, organisasi, parti politik dan sebagainya. Mengapa mesti dituduh si sana berbuat salah, si sini berbohong. Kita semua manusia biasa, sudah semestinya ada salah dan tempang.

Jika anda tidak mampu berbuat apa-apa, jangan dituduh orang bermacam-macam. Lebih baik berdiam diri dan lihat sahaja, daripada menghukum orang hanya kerana dia berbuat sekelumit salah kecil. Berdiam diri dari bersibuk-sibuk mengkritik itu sudah dikira menolong agama yang kita semua anut bersama. Ingatlah, Allah Ta'ala yang sama juga kita percaya dan Muhammad bin Abdullah itu juga orang yang kita ikuti jejaknya.

Tegurlah dengan mesra, kerana Islam ini adalah kesempurnaan akhlak mulia. Nabi Muhammad pernah berkata, "Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

Berbuat salahlah semua, kerana itu tandanya kita lakukan sesuatu untuk agama kita. Salah itu biasa, kerana kita semua manusia. Rancanglah sebaiknya, kerana salah membuat orang beralih pandang, berjalanlah walau pun tempang.


Moga Allah bersama kalian yang berbuat salah dan diperbetulkan kemudian. Hanya Allah jua yang Maha Gagah dan Maha Perkasa.

Aku gembira

Ditulis oleh kawakib_duriyah 0 ulasan

Hari ini aku gembira kerana kad matrik sarjana aku telah aktif untuk digunakan. Ketika waktu rehat tadi, aku ke Perpustakaan Pengajian Islam, Universiti Malaya. Aku telah meminjam sepuluh buah buku. Buku-buku yang aku pinjam adalah untuk menyiapkan disertasi sarjana.

Aku sangat gembira kerana menjadi pelajar sarjana, aku dapat meminjam dua puluh buah buku dalam satu masa dan tempohnya adalah satu bulan. Aku memang gembira kerana ada sedikit bahagia yang datang, mungkin kerana 'pari-pari' keampunan datang menghinggap di sudut kehidupan aku. Aku cuma bersangka sahaja.

Aku berterima kasih kepada orang-orang yang membawa asbab kepada aku untuk terus berjuang melawan kekejian diri yang merasukku selama ini. Kadang-kadang aku terfikir, kelakuan jahat yang kita lakukan secara sembunyi, semestinya diketahui oleh Allah dan malaikat-Nya. Tetapi untuk memberi kesedaran kepada kita, Dia membawa orang lain untuk menegur kita secara tidak langsung, di dalam keadaan orang itu tidak mengetahui sikap jahat kita.

Sesungguhnya Allah sahaja yang lebih mengetahui perkara ini. Sekarang aku sedar, walaupun ada ada sedikit gembira bertenggek di sudut masa kita. Tetapi kita mesti ingat, masih ada manusia yang yang merana walau pun dia telah berusaha untuk bahagia dan gembira. Mari kongsi bersama gembira kita, kerana gembira tiada stok yang boleh berkurang. Terima kasih Tuhan, kerana menciptakan aku dan mereka sebagai manusia.

Tidak Menentu

Ditulis oleh kawakib_duriyah 0 ulasan

Kadang-kadang kita terasa jiwa tidak menentu bukan kerana kerja yang bertambun atau persekitaran yang haru-biru, tetapi kerana jiwa tidak tenteram, menjadikan fokus hati dan rohani kita pada Tuhan tidak konsisten.

Bila terkenangkan hidup yang lalu, tenang, ceria dan sentosa, membuatkan kita terasa cemburu dengan kehidupan yang lalu. Tetapi sedarkah kita bahawa hidup yang lalu itu adalah hidup kita juga. Bagaimana boleh hidup yang lalu itu menjadi bahagia. Adakah kerana mendapat kawan-kawan yang baik atau persekitaran yang sejahtera.

Setiap kali saya merenung ketidaktentuan ini, ia hanya berpunca pada diri yang tidak 'bersahabat' dengan Tuhan. Siapa Tuhan? Dialah yang mengaturkan hidup kita ini, satu persatu. Dialah memberi kita pilihan untuk ke kanan atau ke kiri, Dia sudah tahu apa pilihan kita dan Dia tidak memaksa kita kerana akal yang dianugerahi-Nya kepada kita.

Ketidaktentuan yang kita alami, kadang kala memberi kita makna bahawa hidup kita ini memang untuk diuji sejauh mana keberkesanan akal kita membawa makna agama yang kita anut ini. Beratus ribu patah perkataan yang kita baca di setiap helaian buku, artikel, laporan, majalah, kitab, nota, minit mesyuarat, tesis, disertasi, surat khabar, papan tanda dan segalanya. Namun kita masih belum dapat mengawal kotak jasad yang bergerak bersama akal, budi dan jiwa kepada Tuhannya.

Betapa kasihnya Tuhan memberi segala kemudahan respirasi, perkumuhan, metabolisma, antibodi badan untuk melancarkan segala gerak hidup kita, tetapi kita masih belum dapat membawa diri menghadap-Nya setiap hari.

Kerut dahi setiap hari memberi erti keresahan hidup selama ini. Kepala dipicit, leher diurut agar lerailah sementara gelisah yang melanda. Tetapi itu tidak berpada jika tidak dibawa dengan semangat, kerahan jasad, jiwa, rohani, akal dan budi untuk bersiap sedia untuk melanda segala apa yang menghalang kebahagiaan ini.

Moga dipermudahkan segalanya...